Pena Seorang Faqir..

Coretan Sebuah Kehidupan..
Mencari Erti Ketenangan..
Membawa Pulang Kemenangan..

Siapa yang tak kenal dengan Abu jahal? Dia merupakan antara penentang kuat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. Namun, adakah dengan sebab kedudukan beliau itu menghalang anaknya menjadi muslim yang baik, malah pejuang Islam yang komited? Itulah yang berlaku kepada Ikrimah bin Abu Jahal, salah seorang ahli syurga.

     Ikrimah adalah hero musyrikin Mekah semasa perang Uhud. Dalam peperangan itu, beliau bersama-sama Khalid bin al-Walid membentuk dua kumpulan tentera musyrikin mengepung tentera Muslimin sehingga menimbulkan kucar-kacir dan hura-hara dikalangan tentera Muslimin. Akibatnya, ramai sahabat terkorban, manakala RasuluLlah s.a.w cedera.

     Sebelum menjadi Muslim, Ikrimah komited memerangi Islam dan RasuluLlah s.a.w. Beliau pernah bercita-cita membunuh rasul terakhir itu di samping membunuh ramai sahabat dalam peperangan. Dendamnya kepada Islam  sungguh membara kerana menyaksikan kematian ayahnya Abu Jahal dalam peperangan Badar.

     Semasa pembukaan Mekah, Ikrimah cuba melarikan diri. Walau bagaimanapun, bekas isterinya(sudah menjadi Muslim) berjaya memujuk beliau supaya tidak melarikan diri serta beriman kepada Allah. Kemudian, beliau secara peribadi meminta nabi berdoa supaya Allah mengampunkan segala dosa, dendam, benci dan permusuhannya kepada Islam sebelumnya. Dia tahu, segala dosanya akan diampunkan Allah apabila dia mengucap dua kalimah syahadat. Namun, dia mahu mendengar sendiri munajat nabi terhadapnya.

     Nabi Muhammad s.a.w pun berdoa, "Ya Allah, ampunilah dosanya atas setiap permusuhan yang pernah dilakukannya untuk bermusuh denganku, setiap langkah perjalanan yang dilaluinya untuk menyerangku dengan tujuan memadamkan cahayaMu dan ampunilah dosanya atas segala sesuatu yang pernah dilakukannya baik secara langsung berhadapan denganku ataupun tidak."

     Mendengar doa yang dimohon oleh nabi Muhammad s.a.w itu, Ikrimah berasa senang hati dan gembira lalu berkata, "Wahai Nabi Muhammad, demi Allah setiap dinar yang pernah aku gunakan untuk menentang Islam, akan aku gantikan berlipat kali gandanya untuk membela agamaNya. Begitu juga setiap perjuangan yang dahulu aku lakukan bagi menentang Islam, akan aku ganti dengan perjuangan dua kali ganda demi membela agamaNya. Aku akan ikut berperang dan berjuang sampai ke titisan darah yang terakhir."

     Direkodkan, "Ikrimah selain daripada komited di medan perang, rajin ke masjid dan membaca al-Quran. Beliau lazim dilihat meletakkan al-Quran ke mukanya sambil berkata, 'Inilah Kitab Allah, inilah Kalam Allah.' Lalu beliau menangis kerana takutkan Allah."

     Oleh itu, tidak ada sebab yang menghalang individu yang dikenali sebagai musuh Islam, malah berketurunan penentang Islam mahupun keturunan yahudi untuk kembali kepada Islam dab diterima segala amalannya. Sesungguhnya Allah tidak memandang seseorang hambaNya itu dengan harta, pangkat, keturunan, bangsa, kaum, warna kulit, dan sebagainya. Akan tetapi Allah memandang akan hati seseorang muslim. Jika bersih hatinya, maka baiklah dia pada pandangan Allah. Namun sekiranya buruk hatinya, maka buruk dia pada pandangan Allah.

     WaLlahu'alam..

0 komen:

Post a Comment